WAHAI MANUSIA SIAPAKAH KAMU

Oleh Asy Syahid Al Imam Hassan Al Banna

Terjemahan: Mimbar Jumuah.


“ Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadian kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu. “

(Surah Al Infitar ayat 6 – 8)

1. Adapun orang-orang yang beriman mengatakan:-

Kamu adalah merupakan satu penciptaan Allah s.w.t, suatu tiupan suci dari sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan kamu dengan kekuasaanNya. Ditiup Nya ke dalam diri kamu dengan roh dari sisiNya. Dimuliakan kamu dari seluruh makhluk Nya yang lain. Seluruh malaikat telah sujud kepadamu. Allah s.w.t telah mengajar kepadamu segala sesuatu. Diletakkan di bahu kamu amanah, lantas kamu pikul. Dilimpahkan ke atas kamu nikmat-nikmat dari sisiNya baik yang zahir maupun batin. Dijadikan untuk kamu seluruh isi langit dan bumi. Dimuliakan kamu dengan setinggi-tinggi kemuliaan. Diciptakan kamu dengan sebaik-baik penciptaan. Dipersiapkan kamu dengan sesempurna persiapan. Diberikan kepadamu pendengaran, pengelihatan dan hati. Dijelaskan kepadamu dengan dua jalan (buruk dan baik) dan ditunjukkan kamu dua persimpangan. Dipermudahkan kepada kamu dalam membuat pilihan terhadap jalan-jalan tersebut. Dengan izinNya dan penciptaanNya, kamu dapat terapung di air dan terbang di udara bahkan dapat memecahkan atom-atom. Dengan fikiran dan kemampuan kamu, kamu dapat melampaui lapisan-lapisan awan dan langit (serta bumi).

Lantaran itu adakah lagi penciptaan dan kejadian yang lebih mulia, lebih suci dan lebih agung dari penciptaan Rabbani ini?.

Seterusnya hidup kamu yang singkat di dunia ini tidak akan berhenti setakat itu sahaja, kamu akan dihidupkan dan dibangkitkan kembali. Kamu akan dihimpunkan semula, kamu akan menempuh hidup baru dengan penuh kemuliaan di dalam satu negeri yang penuh dengan kenikmatan dan kebaikan, dengan syarat kamu mengerti rahsia kamu dijadikan dan seterusnya pula kamu beramal dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah s.w.t, Al Ma’bud, Al Khaliq. Firman Allah s.w.t:-


“ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk pengabdian kepadaKu. Aku tiak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan “

(Surah Az Dzariyat ayat 56 – 57)

Kematian yang dibimbangi dan ditakuti itu tidak lain melainkan hanyalah satu perpindahan daripada hidup di dunia ini kepada kehidupan yang satu lagi. Firman Allah s.w.t:-


“ Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan mainan belaka. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan jika mereka mengetahui. “

(Surah Al Ankabuut ayat 64)


Jasad kamu tidak lain adalah seolah-olah satu sangkar dan jiwa kamu terkurung di dalamnya. Seolah-olah dalam satu pakaian terhadap jiwa kamu, sehingga sampai kepada satu ketika dimana kamu menemui kematian. Semoga Allah s.w.t merahmati orang-orang yang Arif yang berkata:-

Akulah burung dan inilah sangkarku (jasadku)

Bila ku terbang darinya, tinggallah ia terkatung-katung,

Pakaian adalah masa,

Kini ku merindui peluang

Dapat ku bertemu Allah dengan sebenarnya

Jangan kau kira maut itu adalah kesudahan,

Bahkah hanya dari sini (dunia) ke sana (akhirat)


2. Sebaliknya orang-orang Materialis dan suka membantah akan berkata:

Kamu wahai manusia, hanyalah satu genggaman tanah, berasal dari setitik mani yang terperangkap di dalam rahim. Dengan masa, lama kelamaan kamu akan luput dan fana. Tidak ada apa-apa lagi selepas itu. Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh. Demikianlah kata orang yang terdahulu dari mereka. Firman Allah s.w.t:-

“ Dan mereka berkata : Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup tiada yang dapat membinasakan kita melainkan masa dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja . “

(Surah Al Jathiyah ayat 24)

Orang-orang yang terkemudian dari mereka pula berkata ‘ Diri kamu hanyalah adunan unsur-unsur bumi dan kehidupan kamu adalah peredaran sistem-sistem fisiologi semata-mata. Segala sentimen, perasaan dan kewujudan, juga fikiran dan kudrat, bahkan keazaman dan kemahuan hanyalah kesan dari adunan unsur-unsur bumi dan natijah dari percampuran tanah dan air. Kehidupan itu hanyalah pusiangan hari-hari tertentu yang dapat kamu mengambil kesempatan untuk kamu berseronok-seronok dan berfoya-foya.

Sesungguhnya dunia ini adalah makan dan minum dan tidur. Bila ini semua luput maka selamat tinggallah dunia.

Wahai saudara, itulah permasalahan hidup yang sebenarnya jika kamu perhatikan dengan betul-betul. Jika kamu renungkan dengan betul-betul, kamu tidak akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang lalai dan leka dengan kewujudan mereka, yang tidak mengambil berat terhadap kewajipan insaniyah mereka. Kamu akan menjadi orang-orang yang sedar terhadap matlamat hidup kamu dan jalan mana yang kamu harus tempuhi.

Seperkara yang inginku nasihatkan kamu:-

Ambilah peluang untuk bersendirian seketika di waktu malam atau siang. Pergunakanlah ia untuk merenung dengan sedalam-dalamnya terhadap kehidupan individu dan jamaah. Apabila kamu telah mencapai hakikat pandangan yang pertama tadi, iaitu pandangan orang-orang yang beriman, kamu akan dapat menyedari dimanakah kamu yang sebenarnya. Sesungguhnya kamu akan dapat meningkatkan dirimu kepada matalamat sebenarnya, seterusnya kamu menuju Allah s.w.t Yang Maha Agung. Kamu akan mensucikan dirimu dengan mengingatiNya, mentaatiNya, muraqabah kepadaNya dan sentiasa takutkanNya. Sesiapa yang mengenali dirinya nescaya ia akan mengenali Tuhannya, Janganlah kamu merasa anih jika terdapat orang yang memilih pandangan kedua, pandangan orang-orang yang sesat, kerana di sana ada dua jalan iaitu Jalan Fitnah atau jalan Hidayah. Firman Allah s.w.t:

“ Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasiq. Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka dari mengerjakannya, Kami katakan kepadanya : Jadilah kamu kera yang hina “

(Surah Al ‘Araaf ayat 165 – 166)

Semoga Allah s.w.t menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

Wallah hu a’lam


0 comments: