Hidayah Anugerah ALLAH

Hidayah adalah sesuatu yang sangat berharga kepada seseorang hamba. Hal ini kerana hidayah bukanlah sesuatu yang boleh didapati di gerai-gerai jualan , masjid dan sekalipun di Mekah dan Madinah. Hidayah bukannya sesuatu yang boleh dijual beli atau ditukar ganti . Hidayah adalah satu anugerah yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Anugerah ini juga hanya diberikan kepada mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki diri masing-masing. Firman ALLAH S.W.T :

Beruntunglah orang yang dibersihkan oleh Allah S.W.T dan rugilah orang yang disesatkannya. (Surah Asy Syam 9-10)


Kebanyakkan daripada kita yang mendapat islam melalui warisan keluarga tidak dapat merasai kemanisan hidayah , iman dan islam ini. Hal ini kerana kita sudah mendapat didikan tentang islam sejak dalam buaian lagi. Namun begitu bagi insan2 yang berada dalam kekafiran , hidayah merupakan pintu untuk mereka merasai ketenangan, mengerti makna sebuah kehidupan dan menghidupkan kembali hati yang telah mati. Kerana itulah kebanyakkan mereka (kafir) yang diberikan hidayah oleh Allah mempunyai komitmen yang sangat tinggi kepada perjuangan islam kerana mereka sangat menghargai anugerah yang tidak ternilai itu. Mereka tidak mahu anugerah ini dicabut oleh tuhan dan mereka kembali kepada kekufuran. Berikut adalah sebuah kisah bagaimana sukarnya seseorang yang ingin mendapatkan hidayah dan ketenangan sebagai renungan kita bersama.

Setiap kali melaksanakan penyembahan mengikut agamanya kristian, selalu timbul pertanyaan dalam hatinya "tuhan yang mana satu yang mesti disembah dengan sebenarnya".
Wong Kim Hock warga negara Malaysia keturunan cina dilahirkan di Pahang pada tahun 1948 dalam lingkungan keluarga yang kuat menganut agama buddha. Kim Hock juga menganut agama tersebut hanya sebagai tradisi keturunan dan ikutan sahaja. Apabila menginjak dewasa, Kim Hock merasa tidak puas hati dengan agama buddhis yang dianutinya dan menganggap bahawa agama itu tidak sesuai dengan pemikirannya. Lalu dia mencari-cari pegangan hidup yang lebih masuk akal dan bertemu dengan agama kristian. Setelah difikir beberapa masa, dia tertarik dengan agama itu kerana dianggap lebih baik dari agama asalnya. Sebagai pengikut gereja diapun menerima pengajaran tentang tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus oleh pendita gereja.
Setelah beberapa lama memeluk agama kristian, Kim Hock mula terfikir tentang dasar ketuhanan yang dianutinya. Bagaimana seseorang akan menyembah kepada tuhan yang tiga itu? Kalau sekiranya dia sangat khusyuk kepada tuhan bapa, apakah tuhan lain tidak cemburu? Demikian juga jika sekiranya dia lebih cinta kepada tuhan anak sudah tentu tuhan bapa akan merasa marah, kerana merasa dipersekutukan. Bagaimana pula tuhan ibu (ruhul qudus)

akan bersaing dalam merebut simpati dan kekuasaan? tentu perkara ini tidak boleh jadi. Walau fikirannya sudah mulai ragu dengan agama kristian namun dia masih memeganginya dengan perasaan kurang yakin.
Kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Penyusunannya adalah yang terbaik untuk hambanya. Pada tahun 1983, Kim Hock pergi ke Jordan atas urusan peribadi. Ketika di Kota Amman, ditakdirkan Allah dia terbaca terjemahan al-Quran yang menjadi pegangan orang islam. Dari kitab suci itulah dia mendapat pengetahuan tentang konsep ketuhanan yang sebenarnya. Tuhan itu Maha Satu, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tiada tuhan bapa, tuhan anak dan tuhan ibu. Kerana Allah mempunyai kuasa mutlak dan hanya kepadanyalah yang layak dipuji dan disembah.
Fahaman ini sangat sesuai dengan fikiran Kim Hock, dan dia merasa mendapatkan jawapan yang dicari-carinya selama ini. Kalau tuhan hanya satu, barulah dikatakan kekuasaan kerana tidak ada yang dapat mengatasi kekuasaannya. Dia yang menghidupkan dan dia jugalah mematikan. DIA yang mencipta hamba dan dialah yang patut disembah. Kalau begitu barulah manusia akan dapat beribadah dengan khusyuk kerana yang disembah hanya Tuhan Yang Satu.
Sinar hidayah mula mengetuk pintu hatinya yang selama ini berada dalam kesesatan. Dia mula mengakui kebenaran Islam dan al-Quran. Sesampainya dia di Malaysia, dia menceritakan keyakinannya kepada isterinya dan pendiriannya untuk memeluk agama islam. Allah tela membuka pintu hati isterinya untuk memeluk agama islam bersama suaminya. Pada tahun 1984 kedua pasangan itu akhirnya melafazkan syahadah dan menjadi hamba ALLAH yang taat pada agama dan bertakwa kepadanya.

Kisah ini memberi pengajaran kepada kita selaku pendokong agama islam. Janganlah kita sekali-kali menyiakan anugerah yang dikurniakan oleh ALLAH kerana masih ramai lagi manusia yang inginkan hidayah tetapi masih belum diberikan oleh Allah. Kita seharusnya bersyukur kerana Allah tidak menghina kita dengan kekufuran sebaliknya kita terus bahagia dalam sentuhan iman dan keindahan agama islam...amin


0 comments: