Hati Yang Telah Hilang

Kita sebagai manusia tidak akan pernah terlepas daripada kesalahan dan kesilapan . Namun ada kalanya kesilapan itu mengajar kita tentang erti keinsafan dan kesedaran. Tanpa adanya kesakitan kadang-kadang kita lupa dan alpa kepada pencipta kita. Di sinilah sabar dan ikhlas memainkan peranan untuk kita membaiki kembali sagala kelemahan dan kekurangan dan membangkitkan semangat untuk mencari kembali hati dan iman yang telah lama menghilang.
Seperti mana kita ketahui hati merupakan organ yang sangat penting bagi manusia baik secara fizikal atau ruh. Dari segi mediknya hati tempat untuk pemprosesan enzim dan hormon yang memainkan peranan utama bagi kelancaran proses metabolisme dalam badan. Fakta ini cukup menjelaskan betapa pentingnya hati kepada manusia. SubhanaAllah, kehebatan hati bukan ini sahaja , hati merupakan penentuan kepada baik buruknya manusia , sabda Rasulullah S.A.W :
Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah tubuh keseluruhannya , maka itulah HATI
.

Merujuk kepada hadis ini, suka saya menceritakan perkongsian tentang perjalanan hidup saya dalam mencari kembali hati saya yang telah lama menghilang. Hati yang disebut di sini adalah hati yang penuh keimanan,kerendahan dan ketaqwaan yang hanya ditujukan kepada ALLAH.

Ketika saya mula meningkat remaja , saya selalu bertanya pada diri saya , sejauh manakah sebenarnya kebenaran islam menusuk hati saya , sebanyak manakah iman dalam hati saya dan setulus manakah hidayah yang dikurniakan kepada saya. Persoalan ini terus bermain di kepala saya selama 5 tahun dalam persekolahan. Namun saya masih tidak bertemu kebenaran. Kerana itulah syaitan mula mendekati saya. Ketika saya di tingkatan satu hingga tiga saya bersekolah di Maahad Tahfiz Sains. Saya kira mungkin inilah cara bagaimana saya ingin mendapatkan kembali kemanisan beriman kepada Allah kerana saya dapat hidup bersama al-QURAN . Namun sebaliknya , saya hanyut dalam kemaksiatan walaupun hati dan fitrah saya tidak rela melakukan perbuatan itu. Seperti remaja lain , saya fikir ketenangan itu datangnya dari keseronokan , kerana itulah saya lupa peranan sebenar kenapa kita diciptakan . Lafaz al-Quran hanya basah di bibir dan diingati dalam ingatan tetapi gagal menyentuh dan mengetuk pintu hati saya yang masih dalam kekeliruan. Meskipun saya berada dalam suasana al-quran tetapi biah yang dibina di situ masih tidak dapat mendidik hati saya . Mungkin kerana terlalu banyak titik hitam yang melekat di hati saya sehingga menjadi terlalu keras untuk saya mendapat hidayah ALLAH.

Tidak tahan dengan bebanan pelajaran yang terlalu banyak ,saya berpindah ke SMKA Melor. Saya mula mendapati perubahan dalam hidup saya. Saya mula mengaktifkan diri dalam program2 yang telah disusun oleh murabbi yang ingin menyentuh hati saya dengan kesenian tarbiah. Bersama-sama sahabat saya mula mengerti tentang konsep keimanan dan ukhuwah yang sebenarnya. Namun jauh di lubuk hati saya masih ada benih-benih keraguan. Disebabkan benih inilah syaitan masih berhasil mengaburi mata saya dengan cinta dunia . Apabila saya berada di tingkatan lima , saya mula berjauhan dengan jalan dakwah dan tarbiyah. Mungkin kerana saya terlalu sibuk memburu kecemerlangan dalam SPM. Pada masa lapang Saya sibuk memberi pengisian kepada kawan2 dan junior di sekolah tetapi saya terlupa bahawa murobbi juga perlukan pengisian . Mungkin inilah sebab kenapa dakwah yang dibawa tidak dapat menyentuh hati pelajar2 sekolah saya. Ini kerana saya sendiri tidak yakin dan beramal dengan risalah yang dibawa. Saya terus hanyut dalam kelalaian disebabkan sibuk untuk menghadapi SPM. Kadang-kadang saya terlupa memberi pengisian kapada hati saya. Saya lupa menyuburkan benih-benih keimanan dalam diri saya. Saya merasakan iman dan hidayah sudah mula ditarik oleh ALLAH. Bila memikirkan perkara itu saya mula merasa takut dan bimbang jika saya betul2 dihina oleh ALLAH . Namun nafsu dan syaitan sekali lagi berhasil menyesatkan saya. Saya menjadi futur (kelesuan rohani) dan mula bersenang dengan cinta dunia.
Alhamdulillah Allah masih lagi menyayangi saya. Selepas SPM , saya ditawarkan ke program JATIDIRI yang dianjurkan oleh Haluan. Pada mulanya hati saya berbelah bagi untuk ke kem itu. Tambahan pula saya baru sahaja merdeka dari peperiksaan SPM . Jadi seharusnya saya gunakan peluang sebelum ke ipt untuk enjoy . Namun hidayah ALLAH sangat luas. Penyusunan ALLAH adalah yang terbaik . Ketika itulah saya mula berfikir untuk meneruskan kembali misi yang telah diabaikan iaitu mencari kembali hati yang telah hilang, hati yang dipenuhi kemanisan keimanan dan ketaqwaan.
Akhirnya saya membuat keputusan untuk ke kem tersebut atas tujuan ingin mencari kembali hati saya yang telah lama hilang. Saya ingin merasai kemanisan cinta dari yang MAHA ESA. Dengan izin ALLAH saya akhirnya menemui jawapan kepada segala kekeliruan saya. Saya kembali menemui cara bagaimana menyucikan kembali hati saya yang telah berkarat. Andai kata saya akan tergelincir dari jalan D&T ini , saya akan kembali bangkit kerana saya sudah yakin ALLAH pasti akan menilai segala usaha saya untuk kembali cinta padanya. Dan perjuangan ini takkan berhenti sehinggalah saya dapat menghidu haruman syurga nanti....insya allah...
Seandainya anda melakukan sebesar manapun dosa tetapi jika anda sedar dan mahu kembali kepada jalan yang sebenar maka yakinlah bahawa Allah pasti akan menerima anda dengan penuh kecintaan , dosa2 kita yang lalu diabaikan kerana Allah sangat menyayangi hambanya. Mulakanlah perubahan diri kita dengan kembali bertaubat kepada allah dan tinggalkanlah maksiat sepenuhnya. Janganlah kita takut allah tidak menerima taubat kita disebabkan kesilapan masa silam kita kerana ALLAH itu maha penerima TAUBAT dan maha penyayang. Apabila timbulnya kembali perasaan cinta kepada allah maka kita sudah berjaya mencari HATI YANG TELAH HILANG.....


0 comments: